Lengkap mengenakan
perhiasan kepala dan baju kirai iaitu sejenis jaket tanpa lengan yang biasa
dipakai pahlawan Iban, Ajai Jailani, 72, bersedia untuk memulakan upacara
miring antu pala dengan menabur beras di sekeliling bakul rotan yang berisi
tengkorak manusia di dalamnya.
Dia yang dikenali
sebagai Tok Jampi dalam kalangan masyarakat Iban setempat kemudiannya membaca
mantera dan mempersembahkan tuak yang dibancuh dengan telur ayam mentah untuk
berhubung dengan roh-roh tengkorak terbabit.
Tuak ialah sejenis
minuman keras tradisional yang diperbuat daripada beras yang diperam di dalam
tempayan selama dua minggu ke atas.
Menurut Ajai, ritual itu
dibuat bertujuan memohon kepada roh tengkorak berkenaan agar tidak mengganggu
sesiapa yang terlibat dalam kerja pemindahan tengkorak.
Dalam upacara tersebut,
lelaki berketurunan Iban itu turut menyediakan hidangan berupa makanan seperti
daun sirih, ketupat, nasi, garam, beras kuning, pisang serta rokok daun nipah
untuk dipersembahkan kepada roh tengkorak berkenaan.
“Sedikit darah ayam
jantan juga turut diberikan sebagai jamuan dalam upacara miring. Ia sebagai
simbolik membuang sial atau nasib kurang baik selain bertujuan menenangkan roh
tengkorak ini,” ujarnya.
Mengikut definisi dalam
bahasa Iban, perkataan ‘miring’ bermaksud memberkati penduduk, melindungi,
membawa kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat.
“Upacara miring antu
pala dibuat sebagai tanda penghargaan kepada semangat tengkorak berkenaan,”
ujarnya.
Tengkorak berpuaka
Selesai upacara itu,
tengkorak akan diisi dalam bakul khas yang diperbuat daripada rotan dan
dibungkus dengan kain pua kumbu sebelum diletakkan di tempat baharu.
Sementara itu, Penolong
Pegawai Penyelidik Seksyen Iban, Majlis Adat Istiadat Negeri Sarawak, Jimbun
Tawai berkata, antu pala yang merujuk kepada hantu kepala atau tengkorak itu
tidak boleh dipindahkan sesuka hati tanpa disertai upacara miring.
“Kami khuatir jika tidak
dilakukan mengikut istiadat sebenar masyarakat Iban, semangat tengkorak ini tidak
tenteram dan musibah seperti penyakit misteri akan menimpa orang yang
memindahkan tengkorak berkenaan,” jelasnya.
Antu pala boleh dilihat
di kebanyakan rumah panjang tradisional masyarakat Iban di sekitar Sarawak. Ia
lazimnya digantung pada bahagian ruai rumah panjang tersebut.
Tengkorak berkenaan
sebenarnya merupakan kepala musuh yang diperoleh masyarakat terdahulu menerusi
tradisi memburu dan memenggal kepala yang digelar ngayau.
Ia bagaimanapun
diharamkan pada era pemerintahan Rajah Putih sekitar tahun 1842 hingga 1946.
Menurut legenda
masyarakat Iban di Sarawak, antu pala yang menjadi simbol kekuatan dan kekuasan
masyarakat Iban suatu ketika dahulu itu memiliki sisi mistiknya yang
tersendiri.
Ada cakap-cakap yang
mengatakan tengkorak yang sudah berusia ratusan tahun itu sudah berpuaka dan
memiliki semangat di sebaliknya.
Kononnya
tengkorak-tengkorak itu dikatakan boleh meludah, menangis dan ada juga yang
pandai merokok.
Lebih menyeramkan, ada
yang mendakwa, pernah mendengar tengkorak itu mengeluarkan bunyi seolah-olah ia
mengetapkan gigi serta bunyi berlaga antara satu sama lain.
Bagi salah seorang
pewaris antu pala, Ambrose Buntuk, 55, tengkorak itu perlu dijaga dengan baik
mengikut adat resam bagi menghormati pahlawan Iban yang berjaya membawa balik
kepala musuh sebagai tanda kemenangan dalam satu-satu peperangan.
“Oleh itu, upacara
miring perlu diadakan pada masa-masa tertentu bagi menenangkan roh antu pala
itu. Biasanya, orang berpengalaman luas dan mengamalkan kepercayaan animisme
yang dipanggil untuk menjalankan upacara tradisi ini,” katanya yang mewarisi
kira-kira lapan tengkorak daripada nenek moyangnya.
Menurut guru
berketurunan Iban dari Sri Aman, Sarawak itu, berdasarkan cerita lisan yang
diperturunkan daripada generasi ke generasi, ngayau tidak dilakukan sesuka hati
sebaliknya berlaku jika ada peperangan dan bagi membalas dendam terhadap musuh.
“Kepala musuh akan
dibawa pulang sebagai ‘piala’ kemenangan. Lebih banyak kepala yang dimiliki,
semakin dihormati pahlawan berkenaan di sisi orang lain,” katanya.
Selain menjadi lambang
keberanian dan simbol status, kejayaan memenggal kepala musuh juga dikatakan
menjadi antara syarat yang melayakkan seseorang lelaki dalam masyarakat Iban
pada zaman dahulu untuk berkahwin.
Ini kerana, tanpa kepala
musuh, lelaki tersebut dianggap belum cukup dewasa dan matang.
Sebagai rekod, kaum Iban
merupakan etnik terbesar di Sarawak dengan mewakili 30 peratus daripada 2.5
juta penduduk.
Kebanyakannya menetap di
Kuching, Sri Aman, Samarahan, Lubuk Antu, Betong, Saratok, Kapit, Belaga dan
Miri.
Kaum lain di Sarawak
termasuklah Cina dengan 24 peratus), Melayu (23), Bidayuh (8), Melanau (6),
Orang Ulu (5) dan selebihnya lain-lain.
Sementara itu, bagi
Johnny Barangan, 41, tradisi memenggal kepala musuh ketika pertempuran sinonim
dengan penggunaan parang tradisional yang dipanggil parang ilang.
Dia yang juga pembuat
senjata itu memberitahu, kepala yang dipenggal akan direndam di dalam air bagi
memudahkan kerja menanggalkan kulit daripada tulang tengkorak.
“Ia kemudiannya
diasapkan di atas api selama beberapa hari untuk mengeringkan saki baki darah
selain menghilangkan bau busuk pada tengkorak berkenaan,” ujarnya.
Berpengalaman lebih 20
tahun dalam bidang pembuatan parang ilang, Johnny yang berasal dari Sibu,
Sarawak memberitahu, parang ilang pusaka yang digunakan ketika mengayau
memiliki keunikan tersendiri sementelah hulu parang senjata itu diikat dengan
helaian rambut musuh.
“Semakin lebat ikatan
rambut pada hulu parang itu, semakin banyak kepala musuh yang dipenggal.
Seperti antu pala, parang ilang pusaka juga akan diperturunkan kepada generasi
seterusnya,” kata Johnny sambil memberitahu, ia lazimnya diwariskan kepada anak
lelaki sulung dalam keluarga.
Johnny menunjukkan mata parang ilang yang diperbuat daripada besi tembaga dan diukir halus dengan motif bercirikan negeri bumi Kenyalang. |
Tatu tegulun
Berdasarkan kepercayaan
terdahulu, hulu parang yang dihiasi ikatan rambut musuh dipercayai dapat
memberi kekuatan luar biasa kepada parang kerana roh si mati kononnya bersatu
dengan senjata itu menjadikannya ia lebih sakti.
Tambah menarik, cerita
Johnny, mana-mana pahlawan Iban yang pulang daripada mengayau turut mencacah
tatu berbintik kecil pada bahagian belakang tapak tangan, di antara ibu jari
dengan jari telunjuk.
Setiap satu tatu yang
dipanggil tegulun itu dibuat sebagai tanda mereka berjaya memenggal satu kepala
musuh.
Bagi yang enggan
mencacah tatu, mereka akan menandakan mata parang dengan corak bintik kecil
yang sama.
“Bilangan tatu kecil itu
bergantung kepada berapa banyak mangsa yang berjaya dibunuh. Maknanya, lebih
banyak tatu pada tangan atau tanda bintik pada mata parang, lebih banyak kepala
musuh yang dipenggal.
“Bilangan yang memiliki
tatu ini sangat sedikit. Ia boleh dilihat dalam kalangan lelaki Iban yang sudah
lanjut usia. Kebanyakannya tinggal di hulu sungai, jauh di pedalaman.
“Pada zaman dahulu,
bukan sembarangan orang boleh mencacah diri mereka dengan motif tegulun kerana
mereka akan menjadi sasaran musuh ketika mengayau,” ujar Johnny.
http://www.kosmo.com.my/ 2sept 2015
No comments:
Post a Comment