Monday 7 September 2015

Kebudayaan

Gambar hiasan
Kaum Iban amat unik dan kaya dengan adat dan kebudayaan yang tersendiri. Oleh demikian terdapat pelbagai perayaan yang merupakan upacara pemujaan untuk menyampaikan niat, memohon kebaikan dan berdoa kepada petara. Perayaan-perayaan ini dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti Gawai Batu, Gawai Burong (Gawai Kenyalang), Gawai Rumah Baru (Gawai Mangkong Tiang), Gawai Nama ke Tajau, Gawai Antu, Gawai Ngemali Umai dan lain-lain seumpamanya. Gawai Batu dianggap sebagai perayaan utama kerana kaitannya dengan tradisi berhuma masyarakat Iban (Melling, 1988). Tujuan Gawai Batu ini ialah untuk memohon keberkatan daripada petara untuk membersihkan tanah huma daripada gangguan serangga perosak dan penyakit. Maka ia bolehlah diadakan apabila mereka tidak mendapat hasil tuaian yang baik pada tahun sebelumnya. Gawai Batu juga diadakan setelah berpindah ke rumah panjang baru untuk memohon keberkatan, kemakmuran dan kesenangan hidup selama mereka menghuni rumah panjang tersebut. Dalam konteks ini, petara yang dimaksudkan ialah Sempulang Gana Bujang Rangkang Kirai Raja Sua, manusia luar biasa yang dipercayai tinggal di kayangan. Menurut kepercayaan, Simpulang Gana ialah dewa atau pesuruh utama petara yang dilantik sebagai penjaga tanah, tempat mereka berhuma dan bercucuk tanam.

Gawai Kenyalang (Gawai Burong) diadakan sebagai penghormatan kepada Singlang Burong iaitu tuhan perang bagi masyarakat Iban tradisional (Sandin, 1977). Asal usul perayaan ini dikaitkan dengan kepercayaan tentang Aki Lang Sengalang Burong Jagu Menaul Tuntung (burung helang) yang ditugaskan oleh petara untuk memimpin segala kerja perang bagi masyarakat Iban kerana beliau memiliki semua jenis pengaroh (azimat). Oleh hal demikian, Gawai Kenyalang bolehlah diadakan semasa atau sebelum ekspedisi ngayau. Ia juga boleh diadakan apabila seseorang pahlawan Iban menerima alamat daripada petara melalui mimpi untuk mengadakannya. Bagaimana pun, Gawai Kenyalang boleh diadakan sebaik sahaja seseorang Iban pulang daripada bejalai (mengembara) setelah memperoleh pendapatan lumayan atau barang yang berharga. Lazimnya upacara perayaan dijalankan di tanju (kawasan di luar ruai) kerana Singalang Burong dipercayai akan datang dan duduk bersama-sama dengan mereka semasa makan dan minum di sana.


Satu lagi perayaan yang penting bagi masyarakat Iban ialah Gawai Antu, iaitu satu upacara ritual sebagai penghormatan kepada orang yang telah mati (Vinson, 1989). Perayaan ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan persediaannya mengambil masa dua hingga tiga tahun (Melling, 1988). Pada malam Gawai Antu, acara ngalu petara (mengalu-alukan kedatangan petara) diadakan di ruai (galeri rumah panjang) dengan cara mengadakan satu perarakan secara besar-besaran oleh pemuda-pemudi yang berpakaian tradisional. Menurut Melling (1988), mereka bergerak dari bilek ke bilek (satu unit keluarga di rumah panjang) dengan diiringi muzik tradisional seperti gegendang, setawak, bebendai dan engkerumung.
Gambar hiasan


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
For threaded comments: