Robert Mayau dihadapan Studionya di Kapit |
KAPIT 27 Okt. Suatu ketika dahulu
masyarakat Iban di negeri ini terkenal dengan tradisi ngayau yang membawa
maksud memenggal atau memburu kepala musuh. Kisahnya pernah diabadikan oleh
penulis terkenal Barat, Carl Bock di dalam bukunya The Head Hunters of Borneo
yang diterbitkan pada 1881.
Kini seiring dengan perkembangan masa, tradisi itu telah luput ditelan zaman.
Walaupun era ngayau telah berlalu namun, semangat serta keberanian mereka
menentang musuh telah diterjemahkan melalui pemakaian tatu yang dikenali
sebagai pantang bagi masyarakat itu.
Di Semenanjung, tatu secara umumnya dianggap lambang bagi kumpulan kongsi gelap
atau sekadar suka-suka. Namun, bagi masyarakat Iban di negeri ini, ia adalah
lambang kelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status
seseorang lelaki.
Kerana itu, sebagai bukti kejayaan, pahlawan Iban akan ditatu pada badan, jari,
lengan dan paha.
Sementara wanita Iban pula ditatu pada
bahagian jari, lengan, kaki dan paha sebagai lambang kedudukan sosial dan
pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi selain
berfungsi sebagai penghias diri.
Tidak kurang juga masyarakat Iban yang menjadikan tatu sebagai simbol untuk
merekod atau menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang.
Corak-corak yang menjadi pilihan pula dipercayai dapat melindungi suku kaum
Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit.
Pemilik kedai tatu Borneo Native & Western, Robert Mayau, 44, berkata,
selari dengan peredaran zaman, tatu yang dianggap sebagai lambang status
seseorang kini dilihat sebagai hasil seni dan aksesori diri. Kalau dahulu
masyarakat Iban lebih selesa dengan corak-corak yang lazimnya diilhamkan
daripada tumbuhan seperti bunga terung, buah engkabang serta haiwan seperti
burung kenyalang, naga, anjing, kala jengking dan ketam. Namun kini orang ramai
khususnya golongan muda lebih menyukai corak yang bersifat moden dan peribadi.
Apa pun, sebagai pembuat tatu saya
mementingkan kepuasan pelanggan kerana tatu yang dibuat akan kekal seumur hidup
di tubuh seseorang, katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercerita mengenai tatu, Robert menjelaskan, dalam proses pembikinannya, beliau
amat mementingkan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Katanya, kebiasaannya
jangkitan atau masalah kesihatan kerap berlaku di dalam proses membuat tatu
secara tradisional oleh pembuat tatu yang tidak profesional.
Daripada pemerhatian saya, perkara
ini sering terjadi di rumah panjang kerana pembuat tatu tidak tahu cara yang
betul untuk menjaga peralatan tatu yang digunakan supaya tidak tercemar dengan
kuman, katanya.
Sementara itu, Robert berkata, di
premisnya, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menghasilkan tatu menggunakan
peralatan moden atau tradisional.
Peliknya jelas beliau, pelancong asing lebih menggemari kaedah tradisional
berbanding masyarakat Iban sendiri.
Katanya, pembuatan tatu secara tradisional menggunakan teknik mengetuk
menggunakan pemalu kayu yang diperbuat daripada tanduk rusa serta sebatang kayu
untuk meletakkan jarum yang digunakan. Cara tradisional lebih sukar berbanding
cara moden kerana kayu tersebut perlu diketuk untuk menghasilkan tatu dan
kerana itu kosnya adalah lebih mahal. Ketika membuat tatu secara tradisional,
apa yang paling penting adalah kekuatan tangan, kesabaran dan ketelitian
manakala pelanggan pula perlu menahan sedikit rasa sakit kerana prosesnya tidak
menggunakan ubat pelali, katanya.
Mengulas lanjut, Robert menjelaskan sesebuah tatu yang mudah motifnya hanya
mengambil masa kurang dua jam untuk disiapkan manakala motif yang kompleks pula
boleh mengambil masa selama bertahun-tahun.
Katanya, walaupun motif moden lebih
menarik minat pelanggannya, namun, sejumlah besar daripada mereka masih memilih
motif tradisional seperti bunga terung. Dalam pertemuan baru-baru ini, Robert
turut berkongsi kisah di sebalik penglibatannya dalam perniagaan membuat tatu
yang diceburi sejak 14 tahun lalu.
Robert yang sebelum itu merantau ke serata dunia berkata, sejak di bangku
sekolah beliau mempunyai bakat melukis namun, bercita-cita untuk menjadi
seorang juruterbang. Semua hasil lukisan saya, saya simpan di dalam sebuah
fail. Pada suatu hari, seorang kenalan saya yang berasal dari Amsterdam melihat
hasil seni saya.
Dia tertarik dan mahu mengabadikan
lukisan saya sebagai tatu pada tubuhnya. Daripada situlah kerjaya saya sebagai
pembuat tatu bermula, jelas bapa kepada dua cahayamata itu.
Ashraf Abd. Manaf. (2011). Utusansarawak@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment