MAGELANG,
Jawa Tengah- Selepas pendedahan berterusan media Indonesia tentang nama-nama
unik yang dimiliki rakyat republik itu antaranya Tuhan, Nabi dan Saiton, kini
muncul satu lagi nama unik penduduk yang bernama Andi Go To School.
Menariknya,
pemilik nama Andi Go To School adalah seorang anggota polis yang bertugas di balai
polis Magelang Kota.
Andi
Go To School yang mesra disapa Goto mengaku, pada awalnya dia sudah terbiasa
dengan nama pemberian orang tuanya, Bulkin dan Nakimah yang berasal dari Dusun
Kedung Rengit RT 01 RW 04, Kampung Tegalarum, Mukim Borubudur di daerah
berkenaan.
Bagaimanapun,
Goto akhirnya memahami maksud namanya semasa dia berada di sekolah menengah,
lapor portal Kompas.com.
“Semasa
kecil saya tidak faham bahasa inggeris. Setelah tahu nama saya bermaksud ‘Andi
pergi ke sekolah’ barulah saya bertanyakan ibu bapa saya, kenapa nama saya
seperti ini,” kata Goto, baru-baru ini.
Menurut
Goto, ayahnya memberikan nama itu agar dirinya rajin ke sekolah, tidak seperti
kakaknya yang suka ponteng sekolah.
Sehubungan
itu, Goto mengaku dia bimbang kerana nama yang disandangnya bakal menjadi beban
kepada dirinya.
“Bagi
saya, nama ini satu beban yang perlu saya buktikan. Ertinya saya harus mahir
berbahasa Inggeris,” kata Goto menambah, namanya sering dijadikan jenaka oleh
rakan-rakannya.
Namun
Goto akhirnya merasa seronok, bangga dan bersyukur dengan nama yang diberikan
orang tuanya itu.
Hal
ini menurutnya, nama itu akan menjadi pembakar semangat buatnya rajin belajar
dan mempelajari bahasa Inggeris secara mendalam. Sementara itu, Goto didapati
meniru langkah ayahnya dengan memberi nama unik buat anaknya iaitu Virgenio
Silvero Go To Paradise yang kini berusia empat tahun.
No comments:
Post a Comment