Saturday 5 September 2015

Kanak pelarian lemas dikebumikan

Abdullah(kanan) dilihat sugul semasa mengebumikan jenazah salah seorang anaknya di sebuah tapak perkuburan di Kobani, Syria semalam. (4Sept)

DAMSYIK – Bapa kepada dua anak lelaki yang lemas di perairan Turki dalam tragedi yang menyayat hati masyarakat dunia mengebumikan anak lelakinya, seorang lagi anak dan isterinya dalam satu upacara pengebumian di bandar Kobani di sempadan Syria semalam, kata seorang saksi.
“Aylan Shenu, abangnya dan ibu mereka dikebumikan hari ini (semalam) di Kobani di hadapan orang ramai. Semua orang sedih dan ada yang menangis, kata seorang wartawan tempatan, Mustefa Ebdi yang turut menghadiri pengebumian itu.
Menurut Mustefa, ketiga-tiga mereka yang berketurunan Kurdis cuba menuju ke Greece dengan menaiki sebuah bot dari Turki.
Aylan yang berusia tiga tahun dan abangnya, Ghaleb, 4, serta ibu mereka, Rihana ditemui mati lemas di perairan di Turki pada Rabu lepas semasa cuba memasuki Eropah dengan menyeberangi Laut Aegean.
“Bagaimanapun, bapa mereka, Abdullah Kurdi terselamat dan kelihatan putus asa serta sugul semasa berucap dalam satu perhimpunan yang dihadiri beratus-ratus orang,” kata Mustefa.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa ekoran tragedi ini. Saya hanya menyalahkan diri sendiri. Saya perlu membayar harga untuk ini (kehilangan anak-anak dan isteri) sepanjang hidup saya,” katanya.
Menurut Abdullah, dua anaknya cuma segelintir daripada begitu ramai mangsa konflik di Syria yang berlarutan sejak empat tahun lalu.
Sehubungan itu, dia merayu supaya jalan penyelesaian konflik tersebut dicari.
Sementara itu di Hungary pula, lebih 1,000 imigran yang terkandas selama berhari-hari di sebuah stesen kereta api utama di Budapest bertindak meninggalkan bangunan itu dengan berjalan kaki untuk menyeberangi sempadan Austria, kata seorang wartawan di lokasi kejadian.
Kumpulan imigran termasuk individu berkerusi roda dan tongkat sanggup meredah perjalanan sejauh 175 kilometer untuk memasuki negara Eropah tersebut. – AFP
www.kosmo.com.my
_________________________________________________________________________________

ISTANBUL - TURKI. "Saya tidak mahukan apa-apa, jika berikan saya negara diseluruh dunia pun, saya tidak mahu kerana kesemua 'harta' saya sudah tiada. "Itu luahan bapa kepada kanak-kanak pelarian Syria, Abdullah Kurdi yang terbunuh dalam tragedi bot karam kelmarin.
Pengguna media sosial digemparkan dengan penyebaran gambar mayat seorang budak lelaki yang terdampar di pesisir pantai Turki.
Gambar itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan berbaju kemeja-T dan berseluar pendek tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum, seolah-olah sedang nyenyak tidur.
Kanak-kanak berkenaan adalah 12 pelarian Syria yang terbunuh selepas bot dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan ke pulau Kos di Greece.
Menurut bapa kepada kanak-kanak malang tersebut, Abdullah Kurdi, penyeludup sebelum ini menjanjikannya kepadanya sebuah motobot untuk perjalanan dari Turki ke Greece.
Sebaliknya, dia bersama isteri, serta dua anaknya yang akan 'berhijrah" untuk memulakan kehidupan baru mereka di Kanada itu hanya disediakan bot getah berkeluasan hanya 15 kaki untuk memuatkan Kurdi, isteri dan dua anak kecil mereka.
Kurdi berkata, sebelum ini dia telah beberapa kali cuba untuk  menyeberang ke Eropah namun gagal.
Malah, dia hampir lemas ketika cuba menyeberang sungai di Edirne, Turki dan apabila sampai di sempadan Bulgaria dia ditahan dan dihantar semula.
Tambah Kurdi, dia kemudiannya membayar 4000 euro untuk membawa keluarganya "berhijrah" dengan menggunakan bot.
"Saya terpaksa membayar lebih untuk mengelakkan menyeberang menggunakan bot getah.
"Sudah tentu, kami takut lemas, namun penyeludup berkata, ia akan menggunakan kapal.
Kurdi berkata, jaket keselamatan yang dipakai keluarganya hilang semasa insiden, tetapi, pegawai keselamatan Turki berkata, tiada jaket keselamatan disediakan.
Perjalanan tersebut bermula pada pukul 3.00 pagi di mana cuaca di Meltimi agak berangin dan ketinggian ombak boleh mencecah 15 kaki. 

www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
For threaded comments: