Thursday, 10 September 2015

Konsep Headhunting atau Ngayau

Gambar hiasan


Headhunting atau ngayau merujuk kepada pemenggalan kepala musuh sebagai membalas dendam akibat keluarga mereka dibunuh oleh pihak lawan pada zaman tradisi dan selain itu ia juga boleh dirujuk kepada menyerang musuh seperti kayau besai dan kayau anak. Kayau besai adalah menyerang musuh secara beramai-ramai dan kayau anak adalah serangan hendap kepada musuh yang dilakukan beberapa orang sahaja misalnya seorang, dua atau tiga orang sahaja.


Masyarakat Iban sering kali digambarkan sebagai satu bangsa yang kejam, garang dan agresif. Ini kerana kisah ngayau (memotong kepala) telah dieksploitasi dan disalahtafsir oleh orang Barat yang menggelar Sarawak sebagai Bumi Pemotong Kepala. Sesungguhnya, tanggapan demikian amatlah tidak tepat kerana kaum Iban adalah satu bangsa yang sangat baik, penyayang dan pemurah (Melling, 1998). Sebenarnya ngayau dilakukan oleh orang Iban pada zaman silam semata-mata untuk tujuan mempertahankan diri daripada dicabar, dipermain-mainkan dan diganggu oleh kaum lain termasuk penceroboh masuk orang asing seperti orang-orang Rajah Brooke dahulu. Bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Iban hanya membunuh semasa ngayau (ekspedisi perang) sahaja, bukan pada sebarang masa sesuka hati. Lelaki Iban yang membawa balik kepala musuh akan mendapat ensumbar, iaitu gelaran nama (nama puji-pujian) seperti Bujang Berani wira/pahlawan Iban) dan sebagainya.

Kepala musuh yang diperolehi akan diawet dan disalai, dan tengkorak ini dipanggil antu pala (trophy kepala) yang akan dijadikan harta pusaka keluarga berkenaan turun-temurun. Antu pala itu akan digantung di atas bedilang (dapur kecil) di ruai dan dipanaskan dengan api kecil supaya antu pala tersebut dapat berehat dengan tenteram. Pada hakikatnya, tidak semua musuh yang ditemui di medan perang akan dibunuh. Contohnya, wanita dan kanak-kanak hanya ditangkap dan dijadikan tawanan perang di rumah panjang tetapi diberi layanan yang baik, dan kemudian dijadikan ahli keluarga angkat melalui adat mengiru hamba abdi (istiadat mengangkat anak) atau gawai betembang (gawai mengangkat anak), iaitu satu upacara khas untuk mengesahkan tawanan berkenaan diangkat sebagai ahli keluarga oleh mana-mana famili yang sudi. Dengan demikian halnya, maka kelas hamba abdi dalam masyarakat Iban.

Gambar hiasan

Pada zaman tradisi, sejak kecil lagi anak lelaki Iban telah diajar oleh ibu atau nenek mereka bersikap berani untuk membalas dendam seperti membunuh dengan cara memenggal kepala musuh yang telah membunuh ahli keluarga mereka. Cara orang tua menanamkan sifat berani kepada anak kecil itu melalui nyanyian semasa mendodoikan anak dan kadang-kadang bercerita secara lisan tentang mitos yang berkaitan dengan dewa-dewa perang yang selalu mendapat kepala musuh dengan banyak semasa pergi berperang atau ngayau. Selain itu, para gadis juga tidak kurang memberi galakan kepada pemuda supaya pergi ngayau dan membawa balik kepala musuh kerana sekiranya anak muda belum berbuat demikian maka si gadis tidak mahu berkahwin dengan pemuda berkenaan. Sekiranya seorang pemuda telah mendapatkan kepala musuh maka dia akan menjadi kebanggan keluarganya dan mendapat gelaran dan status Bujang berani. Status Bujang Berani sangat disanjung tinggi oleh masyarakat Iban pada zaman dahulu (Anonymous,1992:123).


Kaum perempuan masyarakat mempunyai peranan yang penting juga dalam masyarakat tersebut dan salah satu daripada peranan itu ialah melibatkan diri dalam seni rupa tradisi seperti menganyam dan bertenun. Selepas musim menuai padi mereka mempunyai masa lapang untuk melakukan aktiviti menganyam dan bertenun dan alat-alat yang dianyam adalah seperti bakul dan tikar. Terdapat juga daripada alat-alat anyaman tersebut dicipta untuk tujuan ritual seperti yang dipersembahkan kepada roh moyang semasa ritual Gawai Antu. Mereka yang boleh menganyam, bertenun dan seterusnya mempunyai kepakaran dalam mencampurkan warna asli untuk tenunan ikat sangat disanjung tinggi dan mereka itu diberi status tinggi dengan gelaran Indu Takar. Pada zaman tradisi status Indu Takar ini adalah sangat berpretij dan mereka dikategorikan dengan status Bujang Berani kaum lelaki kerana untuk mendapatkan ritual Kayau Indu atau Gawai Engkuni iaitu suatu ritual khas berkaitan dengan seni tenunan pua kumbu (Linggi, 2001:2). Ritual tersebut tidak boleh dilakukan sembarangan kecuali wanita yang telah mendapat petunjuk seperti telah disuruh oleh dewi Kumang atau Indai Abang melalui mimpi.

Anonymous. (1992). Head Hunting in Borneo. The Sea Dayaks and Other Races of Sarawak.                                   Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chemaline Anak Osup. (2006) Leka main: Puisi rakyat Iban-Satu analisis tentang bentuk dan fungsi. Tesis PHD yang tidak diterbitkan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.              

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
For threaded comments: