Gambar hiasan |
Kaum
Iban amat unik dan kaya dengan adat dan kebudayaan yang tersendiri. Oleh
demikian terdapat pelbagai perayaan yang merupakan upacara pemujaan untuk
menyampaikan niat, memohon kebaikan dan berdoa kepada petara. Perayaan-perayaan ini dikenali dengan berbagai-bagai nama
seperti Gawai Batu, Gawai Burong (Gawai
Kenyalang), Gawai Rumah Baru (Gawai Mangkong Tiang), Gawai Nama ke Tajau, Gawai
Antu, Gawai Ngemali Umai dan lain-lain seumpamanya. Gawai Batu dianggap sebagai perayaan utama kerana kaitannya dengan
tradisi berhuma masyarakat Iban (Melling, 1988). Tujuan Gawai Batu ini ialah untuk memohon keberkatan daripada petara untuk membersihkan tanah huma
daripada gangguan serangga perosak dan penyakit. Maka ia bolehlah diadakan
apabila mereka tidak mendapat hasil tuaian yang baik pada tahun sebelumnya. Gawai Batu juga diadakan setelah
berpindah ke rumah panjang baru untuk memohon keberkatan, kemakmuran dan
kesenangan hidup selama mereka menghuni rumah panjang tersebut. Dalam konteks
ini, petara yang dimaksudkan ialah
Sempulang Gana Bujang Rangkang Kirai Raja Sua, manusia luar biasa yang
dipercayai tinggal di kayangan. Menurut kepercayaan, Simpulang Gana ialah dewa
atau pesuruh utama petara yang
dilantik sebagai penjaga tanah, tempat mereka berhuma dan bercucuk tanam.
Gawai Kenyalang (Gawai Burong) diadakan
sebagai penghormatan kepada Singlang Burong iaitu tuhan perang bagi masyarakat
Iban tradisional (Sandin, 1977). Asal usul perayaan ini dikaitkan dengan
kepercayaan tentang Aki Lang Sengalang Burong Jagu Menaul Tuntung (burung
helang) yang ditugaskan oleh petara untuk
memimpin segala kerja perang bagi masyarakat Iban kerana beliau memiliki semua
jenis pengaroh (azimat). Oleh hal
demikian, Gawai Kenyalang bolehlah
diadakan semasa atau sebelum ekspedisi ngayau.
Ia juga boleh diadakan apabila seseorang pahlawan Iban menerima alamat
daripada petara melalui mimpi untuk
mengadakannya. Bagaimana pun, Gawai
Kenyalang boleh diadakan sebaik sahaja seseorang Iban pulang daripada bejalai (mengembara) setelah memperoleh
pendapatan lumayan atau barang yang berharga. Lazimnya upacara perayaan
dijalankan di tanju (kawasan di luar ruai) kerana Singalang Burong dipercayai
akan datang dan duduk bersama-sama dengan mereka semasa makan dan minum di
sana.
Satu
lagi perayaan yang penting bagi masyarakat Iban ialah Gawai Antu, iaitu satu upacara ritual sebagai penghormatan kepada
orang yang telah mati (Vinson, 1989). Perayaan ini memerlukan perbelanjaan yang
besar dan persediaannya mengambil masa dua hingga tiga tahun (Melling, 1988).
Pada malam Gawai Antu, acara ngalu petara (mengalu-alukan kedatangan petara) diadakan di ruai (galeri rumah panjang) dengan cara mengadakan satu perarakan
secara besar-besaran oleh pemuda-pemudi yang berpakaian tradisional. Menurut
Melling (1988), mereka bergerak dari bilek
ke bilek (satu unit keluarga di
rumah panjang) dengan diiringi muzik tradisional seperti gegendang, setawak, bebendai dan engkerumung.
Gambar hiasan |
No comments:
Post a Comment