Dalam Menoa

Tuesday, 1 September 2015

Tattoo Lambang keberanian Iban

Robert Mayau dihadapan Studionya di Kapit
KAPIT 27 Okt. – Suatu ketika dahulu masyarakat Iban di negeri ini terkenal dengan tradisi ‘ngayau’ yang membawa maksud memenggal atau memburu kepala musuh. Kisahnya pernah diabadikan oleh penulis terkenal Barat, Carl Bock di dalam bukunya The Head Hunters of Borneo yang diterbitkan pada 1881.


Kini seiring dengan perkembangan masa, tradisi itu telah luput ditelan zaman. Walaupun era ‘ngayau’ telah berlalu namun, semangat serta keberanian mereka menentang musuh telah diterjemahkan melalui pemakaian tatu yang dikenali sebagai ‘pantang’ bagi masyarakat itu.



Di Semenanjung, tatu secara umumnya dianggap lambang bagi kumpulan kongsi gelap atau sekadar suka-suka. Namun, bagi masyarakat Iban di negeri ini, ia adalah lambang kelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki.



Kerana itu, sebagai bukti kejayaan, pahlawan Iban akan ditatu pada badan, jari, lengan dan paha.


Sementara wanita Iban pula ditatu pada bahagian jari, lengan, kaki dan paha sebagai lambang kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi selain berfungsi sebagai penghias diri.


Tidak kurang juga masyarakat Iban yang menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang. Corak-corak yang menjadi pilihan pula dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit.



Pemilik kedai tatu Borneo Native & Western, Robert Mayau, 44, berkata, selari dengan peredaran zaman, tatu yang dianggap sebagai lambang status seseorang kini dilihat sebagai hasil seni dan aksesori diri. “Kalau dahulu masyarakat Iban lebih selesa dengan corak-corak yang lazimnya diilhamkan daripada tumbuhan seperti bunga terung, buah engkabang serta haiwan seperti burung kenyalang, naga, anjing, kala jengking dan ketam. Namun kini orang ramai khususnya golongan muda lebih menyukai corak yang bersifat moden dan peribadi.


“Apa pun, sebagai pembuat tatu saya mementingkan kepuasan pelanggan kerana tatu yang dibuat akan kekal seumur hidup di tubuh seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Bercerita mengenai tatu, Robert menjelaskan, dalam proses pembikinannya, beliau amat mementingkan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Katanya, kebiasaannya jangkitan atau masalah kesihatan kerap berlaku di dalam proses membuat tatu secara tradisional oleh pembuat tatu yang tidak profesional.


“Daripada pemerhatian saya, perkara ini sering terjadi di rumah panjang kerana pembuat tatu tidak tahu cara yang betul untuk menjaga peralatan tatu yang digunakan supaya tidak tercemar dengan kuman,” katanya.

Sementara itu, Robert berkata, di premisnya, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menghasilkan tatu menggunakan peralatan moden atau tradisional.


Peliknya jelas beliau, pelancong asing lebih menggemari kaedah tradisional berbanding masyarakat Iban sendiri.



Katanya, pembuatan tatu secara tradisional menggunakan teknik mengetuk menggunakan pemalu kayu yang diperbuat daripada tanduk rusa serta sebatang kayu untuk meletakkan jarum yang digunakan. “Cara tradisional lebih sukar berbanding cara moden kerana kayu tersebut perlu diketuk untuk menghasilkan tatu dan kerana itu kosnya adalah lebih mahal. “Ketika membuat tatu secara tradisional, apa yang paling penting adalah kekuatan tangan, kesabaran dan ketelitian manakala pelanggan pula perlu menahan sedikit rasa sakit kerana prosesnya tidak menggunakan ubat pelali,” katanya.



Mengulas lanjut, Robert menjelaskan sesebuah tatu yang mudah motifnya hanya mengambil masa kurang dua jam untuk disiapkan manakala motif yang kompleks pula boleh mengambil masa selama bertahun-tahun.


Katanya, walaupun motif moden lebih menarik minat pelanggannya, namun, sejumlah besar daripada mereka masih memilih motif tradisional seperti bunga terung. Dalam pertemuan baru-baru ini, Robert turut berkongsi kisah di sebalik penglibatannya dalam perniagaan membuat tatu yang diceburi sejak 14 tahun lalu.


Robert yang sebelum itu merantau ke serata dunia berkata, sejak di bangku sekolah beliau mempunyai bakat melukis namun, bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. “Semua hasil lukisan saya, saya simpan di dalam sebuah fail. Pada suatu hari, seorang kenalan saya yang berasal dari Amsterdam melihat hasil seni saya.


“Dia tertarik dan mahu mengabadikan lukisan saya sebagai tatu pada tubuhnya. Daripada situlah kerjaya saya sebagai pembuat tatu bermula,” jelas bapa kepada dua cahayamata itu.


Ashraf Abd. Manaf. (2011). Utusansarawak@utusan.com.my


No comments:

Post a Comment