Dalam Menoa

Sunday, 30 August 2015

Rajagopal-Saksi kesengsaraan Kanang


Rajagopal-Saksi kesengsaraan Kanang
S. Rajagopal (Kiri) bersama Kanang Anak Langkau (tiga dari kanan) dan dua anggota platun serta doktor yang merawat Kanang (dua dari kanan) bergambar kenangan pada satu majlis di Muzium Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur.
____________________________________________________________________________________


Pengalaman melihat isi perut wira negara Pegawai Waran I Kanang Anak Langkau terburai akibat ditembak oleh pengganas komunis tidak mungkin dilupakan oleh bekas anggota Tentera Darat daripada pasukan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) ini.

Beliau yang berada pada posisi yang paling dekat dengan Kanang ketika kejadian itu berlaku masih dapat membayangkan betapa ngerinya melihat darah yang membuak-buak keluar dari celahan urat ketuanya yang terburai.

Hasrat beliau untuk mendekati dan membantu ketuanya itu bagaimanapun terhalang oleh tembakan menggila yang dilepaskan dari senjata pihak musuh yang sememangnya sudah dari awal menantikan kedatangan pasukan mereka.

"Melihat keadaannya yang berlumuran darah dan tidak bermaya waktu itu, saya ingat dia (Kanang) sudah habis (mati) tapi umur dia masih panjang," kata Pegawai Waran II, S. Rajagopal menceritakan antara pengalaman ngeri sepanjang berkhidmat sebagai anggota 8RRD.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Rajagopal berkata, kejadian serang hendap berlaku ketika pasukan 8RRD yang diketuai oleh Kanang (Sarjan pada masa itu) mengetuai satu pasukan menjejak dan mengesan musuh dalam Ops Setia Khas pada tahun 1978.

Rekod
Kejadian berlaku ketika pasukan yang mempunyai rekod cemerlang dalam operasi mengesan dan menjejak musuh itu sedang menuruni sebatang denai di sebuah bukit yang dikelilingi cerun curam di bahagian kiri dan kanannya di Tanah Hitam, Chemor, Perak.

"Ketika kami sedang mengikut jejak yang terdapat di denai ini, tiba-tiba saya terdengar letupan dan melihat salah seorang anggota perubatan, Koperal Salleh yang berada di belakang terpijak jerangkap samar sehingga putus kaki." katanya.

Rajagopal memberitahu, ketika anggota lain termasuk beliau dan Kanang berpaling ke belakang sambil menundukkan diri, pasukan mereka pada masa itu berada di kawasan terbuka dihujani peluru musuh.

Dalam keadaan kelam kabut itu, kata beliau, Kanang akhirnya terkulai akibat terkena tiga das tembakan daripada musuh. Sebutir peluru dari arah belakang singgah ke jantungnya sebelum menembusi dadanya. Beberapa saat kemudian, dua lagi tembakan dari depan dengan setiap sebutir peluru mengenai saluran kencing dan merosakkan buah pinggang kiri.

"Akibat tembakan itu Kanang terpaksa dirawat selama setahun di Hospital dan bagi saya itulah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang berkhidmat sebagai anggota 8 RRD yang kini dikenali sebagai 8 RRD Para," kata Rajagopal ketika ditemui di rumahnya di Taman Senawang Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Panggilan
Rajagopal yang dipanggil dengan panggilan 'anak' oleh Kanang memberitahu, pertempuran dengan pengganas komunis itu merupakan pertempuran ketiga yang disertai oleh beliau bersama dengan Kanang yang disifatkannya sebagai jurulatih dan gurunya.

Beliau juga bekas Ketua Jurulatih Risik Balas di Pusat Latihan Perisikan Angkatan Tentera Malaysia berkata, dirinya adalah antara anggota 8 RRD yang paling banyak bersama dengan Kanang dalam pertempuran dengan komunis.

Selain pertempuran kecil, antara pertempuran besar yang pernah ditempuhinya bersama Kanang ialah ketika Kumpulan tinjauan Khas 8 RRD ditugaskan mengesan dan menjejak musuh di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak.

Dalam Operasi yang diketuai oleh Kanang bersama lebih 30 anggota 8 RRD itu, pasukan terbabit berjaya menjejaki dan membunuh lima pengganas komunis.

Atas keberanian dan kehebatan yang ditunjukkan oleh pasukan itu, Kanang dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), manakala Rajagopal menerima Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (PKPK).

Namun di sebalik kebanggaan pengurniaan pingat keperkasaan dan keberanian itu, wajah Rajagopal tidak dapat menyembunyikan kesedihannya atas kehilangan beberapa anggota 8 RRD termasuk dua orang 'buddy' beliau dalam operasi itu.

Baginya, kematian berpuluh-puluh pengganas komunis hanya perkara 'kecil' jika dibandingkan dengan kehilangan walaupun seorang anggota tentera.

Menyingkap semula pembabitan awalnya dalam ketenteraan, Rajagopal yang jawatan terakhirnya dalam ketenteraan sebagai Ketua Jurulatih Risik Balas di Pusat Latihan Perisikan Angkatan Tentera Malaysia berkata, ia bermula pada tahun 1977.

Walaupun belum mencapai umur 18 tahun pada waktu itu, bapanya yang bimbang dengan 'kenakalan' beliau yang juga anak sulung daripada enam adik beradik memaksanya menghadiri temuduga pengambilan anggota Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) di sebuah sekolah.

"Masa ujian berlangsung, saya perasan bapa saya asyik tengok daripada tingkap kelas bagi memastikan saya mengikuti temuduga itu dan selepas dua bulan, saya diterima masuk PSTD." katanya.

Pada pertemuan itu, Rajagopal turut mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Memerintah 8 RRD semasa beliau berkhidmat dalam pasukan itu yang banyak memberikan sokongan dan kepercayaan penuh kepadanya.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang tentera, beliau tidak pernah melihat mana-mana pegawai memerintah yang membezakan antara anggota berdasarkan agama atau bangsa, malah semua anggota diberikan peluang yang sama rata.

Beliau yang fasih dalam beberapa bahasa termasuk Kantonis dan Punjabi berkata, didikan tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatihnya termasuk Kanang sama ada ketika mengikuti kursus atau semasa peperangan sebenar merupakan sesuatu yang amat berharga.

Rajagopal yang mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati, R. Yamunah pada Sept. 1982 mempunyai empat orang anak perempuan.

Beliau kini menghabiskan masa lapang membantu menguruskan perniagaan milik adiknya di Taman Jaya, Seremban, N.S.




Artikel; Azman Che Man, 07/08/2004
@ Utusan Melayu (M) BHD

No comments:

Post a Comment